Politik dan pendidikan. Dua bidang berlainan tapi sering disatukan. Kenapa tidak dibiarkan saja kedua-duanya berasingan? Mungkin sukar, sebab orang-orang politik yang menentukan dasar-dasar kerajaan termasuklah dasar pendidikan. Tapi, tidak mustahil jika diasingkan. Ya, Kementerian Pelajaran itu di bawah politik, tetapi sistem pendidikan itu seharusnya ditentukan oleh sebuah badan bebas.
Apa yang berlaku apabila pendidikan dipolitikkan? Banyak. Ada perubahan minor dan ada perubahan major. Perubahan minor macam nama yang mengawal selia bidang pendidikan di Malaysia. Dulu, masa DSAI jadi menteri, dinamakan Kementerian Pendidikan, tapi lepas DSAI dah tak ada jawatan dalam kabinet, ditukar kembali kepada Kementerian Pelajaran. Memang, perubahan ini kecil. Tapi, perubahan yang kecil menunjukkan dasar kita yang suka berubah-ubah dan tidak konsisten.
Perubahan major lagi mudah dilihat. Perubahan yang besar dan kadangkala tu berlaku secara pantas. Contohnya, penggunaan BI dalam Sains dan Matematik. Aku tak menolak secara total penggunaan BI dalam Sains dan Matematik, tapi cara pelaksanannya bagi aku macam dibuat terlalu terburu-buru. Seolah-olah macam perancangan nak buat tu tak berapa rapi. Kenapa masa dasar tu dibuat dulu, tidak ia dimulakan dari darjah Satu sahaja? Mengapa perlu usik tingkatan satu yang sudah 6 tahun belajar dalam bahasa Melayu?
Semua ni berkaitan dengan politik sebenarnya. Politik adalah berkenaan survival. Siapa yang mampu terus hidup, dialah yang akan berkuasa. Dan untuk hidup, dia perlukan sokongan. Dan sokongan itu boleh datang apabila yang mahu hidup itu menurut kata pihak-pihak tertentu. Itu sahaja. Cepat dan mudah. Lebih liberal seseorang ahli politik itu, lebih mudah dia mendapat pengaruh, dan akhirnya lebih kuatlah kuasanya.
Lihat sahaja UiTM. Enrolmen 200 000 pelajar. Benarkah ia untuk kebaikan pelajar itu sendiri jika pelajar-pelajarnya pun kurang bersetuju. Malah, pensyarah-pensyarah pun tidak berapa bersetuju dengan pelan tu. Kuantiti yang banyak tidak menjamin kualiti yang tinggi. Dan apabila kita meletakkan satu tanda; iaitu untuk mengambil 200 000 pelajar menjelang 2020, kemungkinan untuk mengambil pelajar yang keputusannya tidak berapa cemerlang akan wujud. Mana taknya, demi nak memenuhkan kuota 200 000 pelajar, sudah tentu aspek syarat kemasukan akan dipermudahkan. Jika ini berlaku, bagaimana dengan kualiti?
Perkara ni saling tak tumpah macam masa kita masih mengamalkan sistem kuota di bawah payung Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Semata-mata nak penuhkan kuota 60:40, aspek kualiti diabaikan. Inilah yang berlaku bila pendidikan dipolitikkan. Lebih buruk lagi, bila pelajar diajar agar mengikut tunjuk kerajaan. Mulut digam. Semua jadi Pak Turut. Tiada lagi pelajar yang berani bersuara demi menegakkan apa yang mereka tidak setuju walaupun perkara yang tak dipersetujui tu memberi implikasi negatif kat diorang.
Masih mahukah kita mempolitikkan pendidikan?
Posted at 04:59 am by kufikir