 |

Sunday, April 08, 2007
[Monolog] : Mat Rempit dikenakan hukuman rotan?
Hukuman rotan kepada Mat Rempit?
Baru-baru ni, aku terbaca kat ruangan forum Utusan Malaysia. Tajuk dia dah cukup menarik perhatian aku. Hukuman rotan kepada Mat Rempit.
Kata penulis tu, dulu masa hukuman rotan dilaksanakan kat PATI, kesannya sangat berkesan sampaikan PATI tak berani nak jejak kaki kat bumi Malaysia. Tapi, sebab pelaksanaan dia cuma hangat-hangat tahi ayam, maka kesannya menjadi tak menjadi.
Tapi bagi aku, tak payah nak dirotan Mat Rempit ni. Yakin ke bila Mat Rempit dirotan, mereka tidak akan merempit lagi. Atau, hukuman itu kelak akan menjadi pemangkin untuk Mat Rempit tu terus merempit? Bukan apa... Macam masa kat sekolah dulu, bila pengetua buat hukuman rotan, lagi ramai yang buat salah.
Sebabnya? Bagi budak-budak ni, dirotan adalah lambang ke'macho'an dan kejayaan; kejayaan menjadi budak nakal. Rasanya daripada dirotan, lebih baik diberi hukuman khidmat masyarakat. Macam kat US, dipakaikan baju oren, lepas tu kena sapu sampah atau kutip sampah dekat tempat yang ramai orang. Yelah, rata-rata Mat Rempit pun muda lagi, jadi lebih baik bagi hukuman yang akan lebih bersifat kemasyarakatan. Tak payah nak rotan-rotan ni...
Betul tak?
Posted at 11:15 pm by kufikir
Permalink
Thursday, April 05, 2007
[Monolog] : Antara politik dan pendidikan...
Politik dan pendidikan. Dua bidang berlainan tapi sering disatukan. Kenapa tidak dibiarkan saja kedua-duanya berasingan? Mungkin sukar, sebab orang-orang politik yang menentukan dasar-dasar kerajaan termasuklah dasar pendidikan. Tapi, tidak mustahil jika diasingkan. Ya, Kementerian Pelajaran itu di bawah politik, tetapi sistem pendidikan itu seharusnya ditentukan oleh sebuah badan bebas.
Apa yang berlaku apabila pendidikan dipolitikkan? Banyak. Ada perubahan minor dan ada perubahan major. Perubahan minor macam nama yang mengawal selia bidang pendidikan di Malaysia. Dulu, masa DSAI jadi menteri, dinamakan Kementerian Pendidikan, tapi lepas DSAI dah tak ada jawatan dalam kabinet, ditukar kembali kepada Kementerian Pelajaran. Memang, perubahan ini kecil. Tapi, perubahan yang kecil menunjukkan dasar kita yang suka berubah-ubah dan tidak konsisten.
Perubahan major lagi mudah dilihat. Perubahan yang besar dan kadangkala tu berlaku secara pantas. Contohnya, penggunaan BI dalam Sains dan Matematik. Aku tak menolak secara total penggunaan BI dalam Sains dan Matematik, tapi cara pelaksanannya bagi aku macam dibuat terlalu terburu-buru. Seolah-olah macam perancangan nak buat tu tak berapa rapi. Kenapa masa dasar tu dibuat dulu, tidak ia dimulakan dari darjah Satu sahaja? Mengapa perlu usik tingkatan satu yang sudah 6 tahun belajar dalam bahasa Melayu?
Semua ni berkaitan dengan politik sebenarnya. Politik adalah berkenaan survival. Siapa yang mampu terus hidup, dialah yang akan berkuasa. Dan untuk hidup, dia perlukan sokongan. Dan sokongan itu boleh datang apabila yang mahu hidup itu menurut kata pihak-pihak tertentu. Itu sahaja. Cepat dan mudah. Lebih liberal seseorang ahli politik itu, lebih mudah dia mendapat pengaruh, dan akhirnya lebih kuatlah kuasanya.
Lihat sahaja UiTM. Enrolmen 200 000 pelajar. Benarkah ia untuk kebaikan pelajar itu sendiri jika pelajar-pelajarnya pun kurang bersetuju. Malah, pensyarah-pensyarah pun tidak berapa bersetuju dengan pelan tu. Kuantiti yang banyak tidak menjamin kualiti yang tinggi. Dan apabila kita meletakkan satu tanda; iaitu untuk mengambil 200 000 pelajar menjelang 2020, kemungkinan untuk mengambil pelajar yang keputusannya tidak berapa cemerlang akan wujud. Mana taknya, demi nak memenuhkan kuota 200 000 pelajar, sudah tentu aspek syarat kemasukan akan dipermudahkan. Jika ini berlaku, bagaimana dengan kualiti?
Perkara ni saling tak tumpah macam masa kita masih mengamalkan sistem kuota di bawah payung Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Semata-mata nak penuhkan kuota 60:40, aspek kualiti diabaikan. Inilah yang berlaku bila pendidikan dipolitikkan. Lebih buruk lagi, bila pelajar diajar agar mengikut tunjuk kerajaan. Mulut digam. Semua jadi Pak Turut. Tiada lagi pelajar yang berani bersuara demi menegakkan apa yang mereka tidak setuju walaupun perkara yang tak dipersetujui tu memberi implikasi negatif kat diorang.
Masih mahukah kita mempolitikkan pendidikan?
Posted at 04:59 am by kufikir
Permalink
Tuesday, April 03, 2007
[Monolog] : Universiti Teknologi MARA...
Universiti Teknologi Mara. Popular IPT ni. Popular sebab kalau ada perkara yang negatif, selalu dikaitkan dengan universiti yang satu ni. Kalau yang baik, alahai... kecik je keluar kat surat khabar. Apa sebenarnya yang bagus sangat dengan IPT ni? Kenapa agaknya UiTM ni selalu menjadi isu panas kalau dibahaskan di blog-blog yang bukan bumiputera? [contoh : blog Education Malaysia].
Sebenarnya, UiTM dan cukup popular sebelum UiTM jadi UiTM lagi. Kiranya masa masih dipanggil ITM. Kenapa UiTM ni popular? Antara sebabnya bila orang kata ITM ni institut kelas kedua. Budak-budak yang kena reject dengan IPT lain, ITM ambil. Tapi itu kata orang. Satu lagi, ITM popular bila budaya berpiket diamalkan kat ITM. Pelajar ITM dulu memang lantang bersuara. Ada yang tak kena, piketlah jawabnya.
Sekarang, ITM dah jadi UiTM. Popular jugak. Kenapa? Selain berita-berita negatif yang sengaja mengaitkan nama UiTM [sumber : Dato' VC], UiTM popular sebab masih lagi bertahan sebagai satu-satunya IPT untuk kaum bumiputera, UiTM nak tambahkan bilangan pelajar kepada 200 000 orang menjelang 2020 etc.
Aku ingat lagi masa aku mula-mula masuk UiTM. Seorang bapa saudara kepada kawan aku tanya, kenapa pilih UiTM. Kan UiTM tak setaraf dengan universiti lain. Bila aku dengar ayat tu, selain perasaan marah yang membuak-buak [marahlah bila orang sendakan universiti kita], perkara kedua yang terlintas kat hati aku ialah rakyat Malaysia masih tak kenal dengan UiTM. Rakyat Malaysia masih kekal dengan pemikiran bahawa UiTM ialah pilihan terakhir.
Jujur, mula-mula masuk, aku terpengaruh dengan kata-kata yang mengatakan masalah sosial di sini teruk. Belajar tak standard etc. Tapi, lepas dah masuk, baru aku sedar, UiTM ada kelasnya. PnP dia sangat berkualiti. Ilmu undang-undang yang diajar kepada aku di sini tak ada kurang lebihnya berbanding apa yang diajar di UKM,UIA, hatta di UM sekalipun. Aku tak nafi, kalau masuk blog kaum bukan bumiputera [dan ada jugak yang bumiputera], kita akan terjumpa entri dan komen yang mempersendakan UiTM. Tapi, aku jamin, cuba kalau UiTM bukak 1% dari populasi UiTM sekarang kepada kaum-kaum bukan bumi.
Implikasinya boleh dijangka. Ramai anak-anak Cina dan India yang akan berebut-rebut nak masuk UiTM. Maaf, ini bukan omongan kosong. Tapi, ini berdasarkan kajian lisan aku terhadap rakan-rakan dari keturunan lain. Alasan mereka mudah. Yuran yang murah, dan kursus yang ditawarkan adalah menarik. Hanya peluang yang tidak diberikan.
Tuntas, janganlah kita menilai buku dari kulitnya, menilai buah dari kulitnya. Kadang-kadang kulit nampak buruk, tapi isinya elok. Pandanglah dengan kedua-dua belah mata, barulah membuat kesimpulan sendiri. Apapun, UiTM di hatiku...
Posted at 07:54 pm by kufikir
Permalink
Monday, April 02, 2007
[Monolog] : Kebebasan media di Malaysia...
Kebebasan media di Malaysia. Sejauh manakah kebenarannya. Sebenarnya, memang Malaysia tidak mengamalkan kebebasan media sepenuhnya. Munkin ramai yang terkeliru dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun etc. Tapi, apa yang ramai orang tak faham ialah disebalik semua kebebasan yang diperuntukkan tu, ada sekatan-sekatan yang dikenakan. Tujuannya untuk mengelakkan Malaysia dari menjadi terlalu liberal.
Mungkin ramai yang mahukan kebebasan media. Aku pun sama. Bagi aku, kebebasan media harus diberikan supaya media di negara kita tidak terikat dengan kerajaan semata-mata. Maksud aku di sini, media negara kita pada hari ini terlalu dikongkong oleh kerajaan sampaikan apa yang disampaikan adalah mengikut acuan kerajaan sepenuhnya. Dalam erti kata lain, media seolah-olah adalah suara hati kerajaan. Apa yang kerajaan nak, itulah yang diaorang tulis.
Bila ini berlaku, banyak berita yang kita dapat dari akhbar atau tv adalah dasar kerajaan. Lepas tu, media pulak banyak bincang pasal politik. Dari muka depan sampai muka tengah kalau kat surat khabar tu, pasal politik semata-mata. Inilah yang berlaku bila media terlampau dikongkong oleh kerajaan.
Tapi, aku jugak tak setuju kalau media ni diberi kebebasan sepenuhnya. Nanti jadi macam kat US. Terlampau liberal. Bila dah liberal sangat dan tak dapat dikawal lagi, menjadi-jadilah nanti kat Malaysia ni majalah macam Mangga, URTV, Bacaria etc. Jadi, seeloknya biarlah kebebasan yang diberi tu dikawal jugak. Kiranya, kalau parti pembangkang ada bangkitkan satu isu yang benar, apa salahnya kalau berita tu dilaporkan oleh media perdana. Tak perlulah nak dinafikan hanya kerana berita itu datang dari pihak pembangkang.
Aku sebenarnya tertarik dengan satu berita yang aku baca di Kosmo [Sabtu, 31 Mac 2003 - kalau aku tak silap]. Ada satu syarikat di Korea Selatan menjadikan orang awam sebagai wartawan dia. Maknanya wartawan syarikat tu terdiri daripada suri rumah, pelajar, petani dan orang-orang biasa macam aku dan orang-orang lain. Setiap berita yang disumbang dibyar kira-kira RM60. Apa yang bagusnya bila syarikat tu buat macam ni? Yang bagusnya, berita tu jujur. Tak dikongkong oleh mana-mana pihak. Berita tu jugak mewakili kehidupan yang mereka lalui.
Kalaulah kat Malaysia ada syarikat berani buat macam ni...
Posted at 12:50 pm by kufikir
Permalink
Sunday, April 01, 2007
[Monolog] : Mat Rempit oh Mat Rempit...
Masa aku kat sekolah rendah dulu, perkataan Mat Rempit sangat jarang didengar. Satu perkataan asing yang memang aku tak taula apa maknanya. Tapi, masuk je sekolah menengah, perkataan tu selalu muncul kat surat khabarlah, tvlah, dan aku pun mulalah tahu apa makna perkataan 'rempit' tu... Tapi, satu perkara yang masih misteri bagi aku, dari mana istilah tu menjelmakan diri..? Musykil-musykil...
Kenapa tiba-tiba aku cerita pasal Mat Rempit ni? Tak ada apa-apa yang istimewa pun sebenarnya. Cuma aku geram je. Geram kenapa ada golongan macam mereka ni. Aku tak salahkan golongan ni 100%. Bagi aku, mak bapak diaorang ada 'saham' jugak dalam menyumbang ke arah 'perempitan' anak-anak diaorang ni. Mungkin ada yang tak setuju dengan pendapat aku tapi, inilah pendapat aku.
Dalam undang-undang torts, ada satu prinsip yang dinamakan Contributory Negligence. Dalam Contributory Negligence, bila berlaku sesuatu kemalangan disebabkan kecuaian, katakan pemandu tu langgar lampu merah lepas tu terlanggar orang tengah lintas jalan; Pemandu tu tak boleh disalahkan 100% kalau orang yang tengah melintas tu ada jalan / cara lain yang boleh mengelakkan dia dari dilanggar. Katakan dia boleh guna jejantas tapi dia pilih untuk ikut bawah. Jadi, pelintas jalan tu dah menyumbang kepada kemalangan tu jugak. Dalam menentukan keputusan, mungkin hakim akan katakan pemandu tu 50% liable dan pelintas tu lagi 50%.
Macam tulah jugak dengan budaya merempit dan budaya-budaya kuning lain ni. Kalau mak bapak selalu ada kat rumah, jaga anak-anak, bagi pendidikan agama, moral, sivik, matematik dan apa-apa lagilah, insya-Allah anak-anak tu akan terbela dan tak terbiar. Ini, dek kerana nak kejar harta, pagi pergi kejar, malam baru balik. Dalam tempoh bekerja tu, diaorang tak terfikir ke apa yang anak-anak diaorang boleh buat? Macam-macam tau...
Dahlah anak-anak Melayu yang mendominasi budaya-budaya entah apa-apa ni. Haih... kalau macam nilah gayanya, entah apalah Malaysia akan jadi tahun 2020 nanti...
p/s: tension Mat Rempit dok merempit kat depan Kolej Jati UiTM ni. Hari tu sorang dah tergolek. Tapi, hari ni dah ada balik... Memang kepala batu sungguh...oh ye.. selamat Maulidur Rasul [semalam - 31/3/2007...]

Posted at 04:42 am by kufikir
Permalink
[Monolog] : Ku Fikir - Bila MINDA dan KEYBOARD bersatu...
Akhirnya dapat jugak aku wujudkan laman Ku Fikir ni. Sebenarnya, laman ni bukan laman baru. Tapi, laman ni ialah kesinambungan dari laman Dari Sisi Lain Kehidupan. Aku terpaksa batalkan blog Dari Sisi Lain Kehidupan sebab blogsome susah untuk digunakan. Lagipun, aku pernah guna blogdrive untuk MLLK 2005 dulu.
Apa-apapun, akhirnya wujud jugak blog ni. Jadi, hari ini, 1 April 2007, aku dengan rasminya merasmikan blog Ku Fikir - Bila MINDA dan KEYBOARD bersatu...
p/s: Selamat datang...selamat datang... 
Posted at 03:44 am by kufikir
Permalink
Thursday, March 22, 2007
[Monolog] : Kes Subashini v Mohd Shafi Saravanan Abdullah...
Malaysia kita ni unik. Unik sebab kita negara pelbagai kaum. Unik sebab kita dapat terima kepalbagaian kaum. Unik sebab kita ada 2 sistem kehakiman / perundangan; sivil dan syariah. Tapi, yang tak seronoknya bila kepelbagaian itu membuatkan kita dalam dilema. Antara untuk menjadikan sesuatu itu lebih baik, atau berkorban demi memastikan keamanan dipelihara.
Mesti pening kan dengan ayat aku kat atas tu. Tapi, aku lebih pening bila memikirkan hal yang tengah hangat jadi isu ni. Kes Subashini lawan bekas suami dia yang dah masuk Islam, Saravanan. Negara kita mengamalkan 2 jenis undang-undang; sivil dengan syariah. Tapi, undang-undang yang diiktiraf sebenarnya hanyalah undang-undang sivil [rujuk Perlembagaan Persekutuan, Perkara 160 - definisi law/undang-undang]. Sebab apa undang-undang syariah dikatakan tidak diiktiraf? Sebab selain dari ketiadaan termanya dalam interpretasi perkataan Law/Undang-undang dalam Perkara 160, undang-undang Syariah sebenarnya adalah undang-undang negeri, kerana dalam State List, 9th Schedule, Agama adalah hak mutlak negeri.
Sebab tu kalau ada yang tak puas hati dengan keputusan Mahkamah Syariah sesebuah negeri, bila tukar negeri lain dia berjaya. Apa-apa pun, dalam kes Subashini, suami dia peluk Islam. Dalam Islam, bila pasangan tak sama agama, ikatan perkahwinan terbatal, tapi dalam undang-undang sivil, perkahwinan ialah sebuah kontrak. Jadi, bila nak batalkan ada prosedur dia sendiri. Lepas tu, tahun lepas Saravanan tukar agama anak dia yang sulung ke Islam. Yang kedua belum lagi. Dalam undang-undang, anak kecil yang minor [tak cukup 18 - Age of ,Majority Act] agamanya ditetapkan oleh ibu bapa. Tapi, memandangkan dalam kes ni ibu bapa tak sama agama, jadi sepatutnya anak-anak ni tidak tertakluk dengan mana-mana agama sehinggalah mencapai umur 18 tahun. Sebab tu susah bila kita ada dua sistem yang berbeza. Sebab, sebagai Muslim, mesti kita nak anak-anak kecil yang dua orang tu kekal dalam Islam. Betul tak? Tapi, sebab undang-undang sivil adalah superior dalam konteks Malaysia ni manakala Syariah inferior, maka, hal ni jadi sukar.
Macam jugak keputusan hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang mana pasangan bukan Muslim perlu menuntut hak dari Mahkamah Syariah. Aku tahu, hakim-hakim tu buat keputusan berlandaskan kepada fakta bahawa mereka Muslim. Dan mereka nak yang terbaik demi agama. Tambah-tambah dengan Islam Hadhari gagasan Pak Lah. Tapi, mereka harus ingat. Negara kita dari awal lagi sebenarnya bukan negara Islam tapi negara sekular [rujuk Malaysian Legal System - Wu Min Aun - Chapter Islamic Law]. Undang-undang yang terpakai ialah undang-undang sivil. Benda ni takkan jadi isu kalau pasangan bukan Muslim tuntut hak dari Mahkamah Sivil. Tapi, demi agama dua hakim yang beragama Islam tu buat keputusan sebegitu rupa.
Tapi, apa yang hakim tu buat sebenarnya bertentangan dengan undang-undang negara, baik dari Perlembagaan Persekutuan, mahupun undang-undang Syariah negeri. Akta Pentadbiran Undang-undang Islam [Wilayah Persekutuan] ada menyebut yang 'parties' untuk sesebuah konflik yang ingin diselesaikan konflik mereka melalui Mahkamah Syariah mestilah kedua-duanya beragama Islam. Malah, menurut Seksyen 51, Law Reform [Marriage and Divorce] Act 1976, pasangan yang berkahwin secara sivil mestilah menggunakan cara sivil juga jika berlaku penceraian. Lagipun, sebab Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi [supreme law of the land] negara, maka undang-undang lain yang kontrari dengannya terbatal, setakat mana kontrari itu berlaku. Jadi, kalau seorang Islam, dan seorang lagi tidak, maka seharusnya hal ini diselesaikan di Mahkamah Sivil.
Secara peribadi, memang aku nak anak-anak Saravanan dan Subashini ini kekal dalam Islam. Tapi, demi perpaduan negara, biarlah hak penjagaan anak-anak mereka diselesaikan di mahkamah Sivil bukannya Mahkamah Syariah. Walaupun sebagai seorang Islam, aku nak Islam ini kuat, tapi, undang-undang tetap undang-undang. Benar, undang-undang ciptaan manusia boleh diubah, tapi jika diubah, ia membawa kepada keburukan, lebih baik kita kekal sahaja dengan apa yang ada. Wallahu a'lam…
Posted at 06:15 pm by kufikir
Permalink
Tuesday, March 20, 2007
[Monolog] : Program Latihan Khidmat Negara...

Dalam blog MLLK 2005 aku, aku ada cerita pasal isu ni. Isu yang hari ni jadi panas balik. Bezanya, isu hari ni lahir dalam bentuk yang berbeza. Kulitnya lain, tapi isinya tetap sama.
Dalam blog MLLK 2005 aku ada cerita tentang SK v SJK… Isinya? Perpaduan BANGSA Malaysia. Tapi, kali ni aku rasa nak bersuara lagi. Bersuara tentang isu yang sama isinya, tapi lain kulitnya. Isinya? Perpaduan lagilah..heheh…Kulitnya? PLKN…
PLKN atau Program Latihan Kihidmat Negara (National Service / NS). Panas betul isu ni sekarang. Aku baca kat The Star hari tu, seorang editor senior ni dapat banyak surat dari ibu bapa suruh kerajaan batalkan program tu.
Tapi, secara peribadinya aku tak setuju kalau kerajaan batalkan PLKN. Mungkin aku bukan sebahagian daripada warga 1987 yang bertuah dapat masuk PLKN, tapi aku ada satu perasaan yang mengatakan PLKNlah wadah terakhir untuk pembentukan BANGSA Malaysia yang bersatu padu.
Sahabat baik aku, Mohd Akmal Hamsidi (nama penuh tu..hehe…) dapat pergi PLKN. Dia kata kat aku malam kelmarin,
"PLKN kalau untuk naikkan semangat patriotik, tak. Tapi, kalau untuk campur gaul dengan kaum lain, ya".
Dan itu jugalah yang dikatakan oleh rakan-rakan aku yan lain. Masa aku masuk tingkatan 6 sekejap dulu, kawan-kawan aku dari keturunan lain ni (yang pergi PLKN) semua balik berpacaran. Yang India dengan yang Cina. Yang Cina dengan yang Melayu. Yang Melayu, dengan mana-mana pun boleh. Kan ke bagus tu? hehe…
Tapi, itu bukan poin utama aku. Poin utama aku, kalau bukan lepas SPM bila lagi? Kalau lepas SPM terus masuk IPT, mesti generasi muda akan datang cuma tahu hidup di kalangan kaum sendiri je. Kalau yang tahu menilai erti peraduan tu tak kisahlah… Insya-Allah dia boleh hidu bersatu padu. Yang tak? InsyaAllah lah hidup diaorang ni penuh prejudis terhadap kaum lain.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lepas form 5 tu dah jadi buluh sebenarnya. Tapi, tak terlambat lagi. Buluh disiat-siat, lepas tu rendam dalam air, boleh dilentur lagi apa? hehe… Jadi, PLKN tu lah wadah terakhir nak melentur anak-anak muda ni supaya dapat hidup dengan kaum lain.
Tapi, kalau PLKN tu ditambah lagi jadi 2 tahun ke (macam NS Singapore), setahun ke, mesti lebih erat perpaduan tu. Mungkin ibu bapa tak setuju, tapi cuba tanya bekas-bekas pelatih. 'Confirm' diaorang akan setuju…
Dah panjang aku bebel ni… Chow dululah..hehe… Apa-apa pun, renung-renungkanlah…
Posted at 03:03 pm by kufikir
Permalink
Saturday, March 17, 2007
[Monolog] : Akademi Fantasia 5...
Akademi Fantasia 5. Nampaknya inilah antara topik yang paling hangat sekali dibincang buat masa ni. Entahlah… Aku tak teruja langsung dengan Akademi Fantasia. Kalau ada yang ikut tulisan aku dari awal, dalam MLLK v3:2005 aku ada suarakan harapan aku, betapa bagusnya kalau Malaysia wujudkan rancangan macam The Apprantice.
Ini tidak, balik-balik berkenaan hiburan. Aku pun dah tak tahu kenapa generasi muda sekarang disogokkan dengan hiburan banyak sangat. Aku rasa dulu tak adalah sampai macam ni sekali. Bayangkanlah, dengan Akademi Fantasianya, lepas tu Malaysia Idol tak ada, anti dengan One in a Million, habis Mentor ada pulak Gangstarz. Apa semua ni? Tak cukupkah kita ni disogokkan dengan hiburan-hiburan lain kat tv tu?
Kadang-kadang, aku rasa macam Malaysia ni dah jadi hub untuk lahirkan artis yang popular. Popular dengan sms. Popular dengan glamor. Popular tanpa ilmu. Kelakar bila baca kat surat khabar, rakyat Malaysia pening fikir siapa bakal jadi ‘Pengetua’ AF5. Tapi cuba tanya perkara lebih penting yang sudah pun berlaku. Macam siapa ganti Kofi Annan jadi Setiausaha Agong PBB? Mesti ramai yang tak tahu. Mana taknya, hiburan penuh di mana-mana, mana nak tahu hal ehwal semasa.
Tapi, dalam lambakan hiburan ni, aku puji usaha tv9 buat musim kedua AQ. Ini hiburan yang unik. Hiburan berlandaskan agama. Bersandarkan Al-Quran. Cuma harapan aku, jangan pulak peserta-peserta AQ ni masuk AQ sebab nak glamor atau nak menang. Nanti niat jadi terpesong. Biarlah masuk AQ tu niat nak berdakwah, nak sedarkan rakan-rakan dalam AF. Hmm… bagus jugak tu kan?
Soalan. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dah masuk dalam senarai billionaire terkaya di dunia. Tak teringin nak buat Perantis [The Apprentice - versi Malaysia] ke?
Posted at 01:59 pm by kufikir
Permalink
Sunday, January 28, 2007
[Monolog] : Bangsa Malaysia...
Ada banyak pendapat tentang perkataan bangsa kat Malaysia ni. Dulu orang merujuk bangsa tu sebagai bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, dan lain-lain. Tapi, Dr.M pulak buat gagasan bangsa Malaysia. Maka, berlakulah perubahan dari perkataan bangsa, sekarang yang diterimapakai ialah keturunan. Kiranya bangsa Malaysia keturunan Melayu. Bagus gak idea ni...
Tapi, lepas tu kerajaan sekarang macam tak nak teruskan dengan gagasan Bangsa Malaysia. Bagi mereka, ia seolah menuju ke arah ala-Malayan Union dulu. Tapi, aku tak setuju dengan pendapat tu.
Bagi aku, untuk mewujudkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum, kita perlu mempunyai identiti sendiri. Bangsa Malaysia, maknanya bangsa bagi rakyat Malaysia yang bermacam keturunan. Kiranya kalaupun ada orang Cina di China, itu kira bangsa Chinalah sebab dia tidak beridentitikan Malaysia.
Macam bahasa. Dulu digunapakai Bahasa Malaysia. Tapi sekarang dah jadi Bahasa Melayu balik. Sampaikan seorang kawan aku kat kolej dia tak tahu pun yang Bahasa Malaysia merujuk kepada Bahasa Melayu. Dia kata, Bahasa Malaysia tu maknanya bahasa bagi orang Malaysialah. Kata dia lagi, Bahasa Malaysia tu maknanya Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil...Hmmm...
Semalam aku tengok Anugerah Filem Pendek 06' [AFP 06']. Nurul selaku pengacara malam tu dengan Awal Ashaa'ri mengeluarkan satu ayat yang aku tak boleh terima. Kata Nurul, "Berikan satu tepukan yang gemuruh kepada Kevin Lau kerana walaupun dia bukan berbangsa Melayu, tapi dia mampu menyanyi dalam bahasa Melayu dengan baik". Bagi aku, sepatutnya Nurul gunakan perkataan keturunan bagi menggantikan bangsa kerana Kevin berbangsa Malaysia. Lagi satu, Kevin SEHARUSNYA menguasai Bahasa Melayu dengan baik kerana itu bahasa kebangsaan. Malulah rakyat sesebuah negara jika tak mampu menguasai bahasa kebangsaan negara dia sendiri. Jadi apa yang nak dibanggakan bila Kevin boleh nyanyi dalam bahasa Melayu dengan baik? Bukankah bahasa Melayu tu bahasa kebangsaan negara dia?
Posted at 10:08 am by kufikir
Permalink
|
 |
|
|
|
|